IPOH – Sebuah syarikat kuari didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memiliki barang kawalan 10,129 liter diesel tanpa permit, dua tahun lalu.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu selepas Syarikat GCCP Marble Sdn. Bhd. yang diwakili pengarahnya, Loo Wooi Hong, 32, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mahkamah memerintahkan wang hasil jualan berjumlah RM23,803.15 dilucut hak kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Mengikut pertuduhan, syarikat itu didapati melanggar Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dengan memiliki 10,129 liter diesel tanpa kebenaran Pengawal.
Kesalahan dilakukan di sebuah premis di Keramat Pulai Industrial Park, mukim Sungai Raya di sini pada pukul 6.30 petang, 15 Ogos 2023. Pendakwaan dibuat mengikut Peraturan 21(1) yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN, Mohamad Nazreen Zabarudin, manakala syarikat itu diwakili Tetuan Wong & Ang. Syarikat tersebut membayar denda yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE














