fbpx
KEADAAN motosikal milik Muhammad Ariff (gambar kecil) yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 48.1 Lebuh Raya Utara Selatan, Johor Bahru, Sabtu lalu.

Suami minta doa, peluk erat sebelum berpisah tanda pergi selamanya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Perubahan sikap arwah suami yang sering meminta doa kesejahteraan ke atas dirinya dan memeluk erat rakan-rakan menjadi petanda Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Johor (DPPNJ) pergi menghadap Ilahi.

Muhammad Ariff Haron, 33, meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Kilometer 48.1 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara di sini semalam ketika dalam perjalanan hadir satu program parti di Pagoh, Muar.

Menurut isterinya, Shuhada Alam Shah, 34, arwah suaminya yang juga Pengetua Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) Johor dikenali sebagai insan peramah, mesra dan mudah didekati sesiapa sahaja.

“Arwah memang suka beri salam dahulu apabila jumpa orang, sentiasa senyum dan tak pernah sombong.

“Petanda sebelum pemergian arwah memang susah kita nak sedar. Bila sudah meninggal dunia kadang barulah kita cari balik tanda tanda dan perangai pelik.

“Setakat ni sahabat arwah yang perasan tanda sebelum arwah pergi. Mereka memaklumkan arwah ada memohon sahabat-sahabatnya untuk mendoakannya dan memeluk erat sebelum pulang ke rumah,”katanya.

Menurut Shuhada, arwah yang juga seorang mutawwif sangat rapat dengan tiga anak mereka berumur dua hingga lima tahun.

Malah ujarnha, arwah juga sangat gembira sebaik dimaklumkan dirinya mengandung anak keempat.

“Arwah selalu pesan pada anak-anaknya walaupun masih kecil agar sentiasa jaga solat.

“Setiap kali arwah keluar pergi kerja, ke kuliah, ceramah atau umrah (mutawwif), arwah akan pesan supaya saya jaga anak-anak.

“Beberapa hari sebelum ini, arwah ada minta doakan dirinya diberikan kesihatan kerana merasa letih. Tetapi arwah tetap kuatkan diri utk membuat segala kebaikan selagi hidupnya ada,”katanya yang mengandung dua bulan.

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tiram, di sini semalam.

Allahyarham meninggalkan isteri dan tiga cahaya mata iaitu Siti Maryam, 5; Muhammad Zaid, 4 dan Muhammad Suhail, 2 tahun.

Semalam, Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Johor, Mohd Ridhwan Salamun dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian menimpa Allahyarham Muhammad Ariff pada pukul 11.54 pagi berhubung kemalangan.

Katanya, Allahyarhan menunggang motosikal dan terbabit kemalangan dengan sebuah kereta semasa dalam perjalanan ke program Permukiman Pemuda Pas Negeri Johor di Pagoh.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI