LONDON – Liverpool terus ditampa malang apabila menjadi juara bertahan keempat yang tewas empat perlawanan berturut-turut sekali gus menyamai rekod kekalahan terpanjang kelab itu dalam era Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pengurus The Reds, Arne Slot turut mengakui kekalahan 2-3 kepada Brentford di Stadium Komuniti Gtech awal pagi semalam adalah yang paling teruk pernah dialaminya selepas sebelum ini dikecewakan oleh Crystal Palace, Chelsea dan Manchester United.
“Tidak boleh bandingkan semua perlawanan itu dan perkara paling membimbangkan adalah kami kini tewas dalam empat perlawanan berturut-turut. Ia sentiasa berkisar kepada keputusan, barulah boleh menilai tentang prestasi.
“Pada pendapat saya, aksi dalam perlawanan ini adalah yang paling buruk daripada semua empat kekalahan yang kami alami. Saya rasa kami tidak melakukan perkara asas terutamanya di babak pertama.
“Brentford memenangi setiap pertarungan dan juga mengatasi kami ketika perebutan bola kedua,” kata Slot yang terpaksa akur dengan rekod buruk pasukannya mencatat lima kekalahan daripada enam perlawanan terakhir dalam semua kejohanan.
Jaringan Brentford dihasilkan oleh Dango Ouattara, Kevin Schade dan Igor Thoago, manakala gol Liverpool diledak Milos Kerkez serta Mohamed Salah.
Ini adalah prestasi terburuk Liverpool dalam saingan domestik sejak Februari 2021 di mana Slot mengakui anak-anak buahnya bergelut berdepan lontaran ke dalam dan situasi bola mati.
Lebih memburukkan keadaan, Liverpool yang di awal musim selesa menerajui carta EPL, kini bukan sahaja terkeluar daripada kelompok empat teratas, sebaliknya jatuh ke tangga keenam dengan 15 mata selepas sembilan perlawanan.
Momentum buruk itu mampu mengakibatkan Liverpool tersingkir seawal pusingan keempat Piala Liga Inggeris menjelang pertemuan dengan Crystal Palace di Anfield pada Khamis ini selepas tewas dua kali berturut-turut kepada lawan tersebut musim ini. – AGENSI














