PETALING JAYA – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berlepas dari Malaysia pagi ini bagi meneruskan lawatan enam hari ke tiga negara Asia dengan Jepun sebagai destinasi seterusnya.
Trump dijangka tiba di Tokyo sekitar pukul 5 petang waktu tempatan, di mana acara pertama beliau ialah kunjungan hormat ke atas Maharaja Jepun, Naruhito, di Istana Diraja.
Sepanjang lawatan ke Jepun, Trump turut dijadualkan mengadakan rundingan rasmi dengan Perdana Menteri baharu, Sanae Takaichi.
Seperti di Malaysia, pemimpin AS itu dijangka disambut dengan penuh istiadat serta penghormatan rasmi oleh kerajaan Jepun.
Sidang kemuncak di Tokyo dijangka menumpukan kepada isu keupayaan pertahanan Jepun dan rancangan pelaburan besar negara itu di Amerika Syarikat.
Selain pertemuan dengan Maharaja Naruhito, Trump juga dijadualkan melawat pangkalan tentera Yokosuka di selatan Tokyo untuk menyampaikan ucapan di atas kapal pengangkut pesawat, sebelum menghadiri majlis makan malam bersama tokoh korporat Jepun pada malam yang sama.
Terdahulu, Trump tiba di Malaysia pagi semalam bagi memulakan lawatan rasmi dua hari sempena Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20.
Ketibaan Trump di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kira-kira pukul 9.54 pagi dengan menaiki pesawat Air Force One.
Trump yang tiba disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama beberapa Menteri Kabinet serta pegawai kanan kerajaan.
Trump mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula hari ini hingga esok bersempena Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20.
Lawatan rasmi itu merupakan atas jemputan Anwar selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Ini merupakan lawatan pertama Trump ke rantau Asia Tenggara sejak dipilih sebagai Presiden AS ke-47 pada Januari lepas.
Pada semalam Trump juga menandatangani perjanjian perdagangan dan mineral bersama Malaysia, selain mengambil langkah memulihkan hubungan dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, selepas beberapa bulan ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara.
Dalam pada itu, pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menyaksikan satu lagi sejarah penting apabila Thailand dan Kemboja bersetuju untuk memeterai Perjanjian KL Accord bagi melaksanakan genjatan senjata, sekali gus mewujudkan pendamaian di sempadan kedua-dua negara.
Pemeteraian perjanjian damai itu ditandatangani antara Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dalam satu majlis khas yang turut dihadiri Trump.
Hadir sama, Anwar juga bertindak sebagai Pengerusi ASEAN. – KOSMO! ONLINE














