SHAH ALAM – Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dicadang dilantik sebagai ahli ex-officio Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan rangkaian penglibatan komuniti bagi memperkukuh kerjasama keselamatan dan disiplin pelajar di sekolah.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd. Zaini Abu Hassan berkata, langkah itu bagi memastikan pembabitan polis di sekolah menjadi lebih terancang, berstruktur dan berterusan tanpa menunggu jemputan.
“Sebelum ini PPS hadir bila dipanggil. Kini, kita mahu mereka berada terus dalam struktur PIBG untuk menyumbang pandangan berkaitan disiplin, keselamatan dan pencegahan jenayah.
“Polis mahu terlibat secara langsung, bukan memerhati dari luar pagar,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Keselamatan Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam di sini, hari ini.
Beliau berkata, mekanisme pelaksanaan cadangan berkenaan akan dirangka bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak berkepentingan termasuk pentadbir sekolah, guru serta wakil komuniti bagi memastikan hasil yang lebih efektif.
Jelasnya, cadangan itu telah dipersetujui di peringkat negeri dan kini dibawa ke mesyuarat nasional antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KPM untuk kelulusan.
“Jika diberikan lampu hijau esok, inisiatif yang bermula di Selangor ini akan diperluaskan di seluruh negara. Ia satu lonjakan besar memperkukuh jaringan keselamatan sekolah,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohd. Zaini berkata, usaha itu selari dengan Arahan Pentadbiran Polis No. 171 yang menekankan peranan PPS dalam pemantauan keselamatan serta kebajikan pelajar.
“Apabila PPS terlibat terus dalam proses membuat keputusan, tindakan pencegahan dapat dilaksanakan sebelum risiko bertukar menjadi insiden,” tegasnya.- KOSMO! ONLINE














