PETALING JAYA – Perjanjian bersejarah antara Thailand dan Kemboja menjadi titik tolak kepada berakhirnya pertikaian antara kedua-dua negara, sekali gus membuka lembaran baharu era keamanan dan kerjasama dua hala di rantau Asia Tenggara.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, perjanjian bersejarah dikenali sebagai Perjanjian Perdamaian Kuala Lumpur itu berjaya dimeterai semalam dengan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Katanya, langkah ini lahir daripada rundingan damai yang dimulakan oleh Perdana Menteri Malaysia pada Julai lalu dan akhirnya membawa hasil positif kepada kestabilan serantau. “Langkah ini menandakan kesediaan kedua-dua negara untuk menghentikan peperangan, membebaskan tawanan, dan membenarkan pemerhati ASEAN termasuk Malaysia menilai pelaksanaan damai di lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Taklimat Pejabat Perdana Menteri bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menyaksikan satu lagi sejarah penting apabila Thailand dan Kemboja bersetuju untuk memeterai Perjanjian KL Accord bagi melaksanakan genjatan senjata, sekali gus mewujudkan pendamaian di sempadan kedua-dua negara.
Pemeteraian perjanjian damai itu ditandatangani antara Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dalam satu majlis khas yang turut dihadiri Trump.
Hadir sama, Anwar juga bertindak sebagai Pengerusi ASEAN.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 semalam, Perdana Menteri turut mempengerusikan lima sidang utama semalam.
“(Ini termasuk) Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-13, Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-28, Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) ke-3 serta Sidang Kemuncak ASEAN–India ke-22 (secara maya),” ujarnya.
Jelasnya, sidang-sidang tersebut berjaya menjadi wadah memperkukuh kerjasama strategik antara ASEAN dan rakan dialog, memperluas sinergi dalam bidang perdagangan, digital, tenaga dan pembangunan mampan.
“(Ia) sekali gus mengangkat suara ASEAN ke tahap yang lebih berpengaruh di pentas
global,” katanya. – KOSMO! ONLINE














