IPOH – Perak komited membangunkan perlombongan mineral mesra alam yang bukan sahaja mensejahterakan rakyat, malah menyumbang pendapatan signifikan kepada kerajaan negeri.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dalam pelan Perak Sejahtera 2030 menetapkan, operasi mengambil, mengorek hasil bumi yang berkaitan dengan mineral tidak sesekali akan menjejaskan alam sekitar.
“Kita punya kaedah pengeluaran perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) menggunakan in-situ leaching (ISL). “Bahkan ada lagi, sedang dalam percubaan sekarang dipanggil kaedah nano akan dibuat. Jadi, apa pun kita keluarkan hasil bumi ini, mineral ini, tanpa mengusik dan merosakkan alam sekitar,” katanya kepada pemberita di Zantat Sdn. Bhd., Kampung Kepayang, Simpang Pulai di sini hari ini.
Saarani terdahulu merasmikan Makmal Inovasi Poly+Cal Zantat yang menelan belanja sebanyak RM8 juta sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memacu inovasi dalam bidang polimer dan kalsium karbonat di negara ini.
Perak mempunyai kawasan perlombongan NR-REE di kawasan seluas 87 hektar di Hulu Perak yang telah melepasi piawaian EIA (penaksiran kesan persekitaran).
Katanya, kerajaan negeri akan terus menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif, mempercepatkan proses kerulusan dan memperkukuh kerjasama antara agensi serta sektor swasta bagi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi.
Menurutnya, kerajaan negeri turut membuka pintu seluas-luasnya kerjasama dengan pelabur antarabangsa bagi membangunkan perlombongan NR-REE.
Bagaimanapun, Saarani berkata, kerjasama perdagangan strategik itu perlu melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk sebarang kelulusan. – KOSMO! ONLINE














