KUALA SELANGOR – Seorang pelajar lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap rakan perempuan sekelasnya di sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam, dua minggu lalu.
Tertuduh berusia 15 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Muhammad Ghulam.
Berdasarkan pertuduhan, anak bongsu daripada tiga beradik itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun termasuk dengan memegang bahagian sulit mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah kelas di sekolah berkenaan, kira-kira pukul 9.30 pagi, 13 Oktober lalu.
Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sabit kesalahan antaranya memperuntukkan hukuman denda, pampasan atau kos; atau perintah khidmat masyarakat atau dihantar ke sekolah diluluskan seperti Sekolah Henry Gurney.
Selain itu, mahkamah boleh mengenakan hukuman penjara tertakluk kepada Seksyen 96(2) Akta Kanak-Kanak sehingga tempoh tertentu.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azamuddin Razak menawarkan kos jaminan RM6,000 dengan mengambil kira faktor keseriusan kes melibatkan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini.
Namun, peguam Aina Suraya Ahmad Nor Hisham merayu pengurangan kerana pelajar itu perlu mendapatkan rawatan lanjut di hospital akibat kemalangan jalan raya yang menyebabkan patah kaki dan pendarahan di otak.
“Bapanya pula bekerja sebagai petani dengan berpendapatan hanya RM500 sebulan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan kos jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 1 Disember depan. – KOSMO! ONLINE














