KUALA TERENGGANU – Ketua Unit Pembiayaan, sebuah cawangan bank di Kepong, Kuala Lumpur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 79 pertuduhan menerima rasuah berjumlah keseluruhan RM488,050 sebagai ‘upah’ membantu memproses pinjaman peribadi pelanggan melebihi had kelayakan.
Tertuduh, Syed Mohd. Muhaimin Syed Mohd. Mashrof, 42, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, Syed Mohd. Muhaimin didakwa menerima wang rasuah tersebut ke dalam akaun bank miliknya sebagai dorongan membantu memproses permohonan pembiayaan pinjaman peribadi pelanggan syarikat, CSA Academy Sdn. Bhd.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di antara 2022 hingga 2024 secara serentak dengan permohonan pinjaman pelanggan sama di beberapa institusi kewangan lain. Ia menyebabkan pelanggan tersebut memiliki beberapa pinjaman peribadi lain yang melebihi had kelayakan.
Syed Mohd. Muhaimin didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin selain melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan sehingga prosidinh selesai.
Kes berkenaan dibenrkan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan sebutan semula akan ditetapkan kemudian.- KOSMO! ONLINE.














