KESUNGGUHAN pemain dengan mentaliti juara dalam setiap diri menjadi kunci kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) membelasah wakil Brunei, DPMM FC 10-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim kelmarin.
Pengendali Harimau Selatan, Xisco Munoz berpuas hati dengan aksi dipamerkan pemain setelah melalui proses pembentukan karakter selain mengekalkan intensiti permainan hingga ke wisel penamat.
Katanya, biarpun masih keletihan setelah mengharungi saingan sengit Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) berdepan Chengdu Rongcheng baru-baru ini, setiap pemain dilihat mempamerkan aksi bertenaga bagi menghasilkan kemenangan berkenaan.
“Kemenangan ini diharap dapat meningkatkan lagi motivasi bagi memastikan setiap perlawanan diharungi mampu menjelmakan keputusan positif. Kami tidak boleh berpeluk tubuh, sebaliknya kekal konsisten dalam setiap aksi.
“Selain itu, kami perlu terus berusaha setiap hari kerana selepas ini akan hadapi persaingan yang lain dan memberi fokus untuk aksi Piala FA . Ia merupakan cabaran penting dan kami kena buat persiapan yang lebih rapi,” katanya.
Kemenangan tersebut menyaksikan JDT terus unggul di puncak Liga Super dengan 24 mata hasil lapan kemenangan lapan berturut-turut setakat ini.
Mengulas mengenai perubahan di posisi serangan dengan tidak mengekalkan gandingan yang sama dalam setiap aksi, Munoz menegaskan bahawa ia merupakan perancangan taktikal, bukannya disebabkan eksperimen semata-mata.
“Musim ini JDT akan mengharungi sekurang-kurangnya 65 perlawanan sama ada di saingan domestik dan peringkat Asia. Jadi kami perlu membentuk persefahaman di posisi serangan tidak kira sama ada Bergson, Romel (Morales) atau Jairo harus digilirkan.
“Agak sukar untuk mana-mana pemain bermain 65 perlawanan dan perlu ada penggiliran bagi memastikan jentera serangan sentiasa berada pada tahap optimum,” katanya. – KOSMO! ONLINE














