KUALA LUMPUR- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump secara peribadi menyifatkan Malaysia merupakan sebuah negara yang hebat dan bertenaga.
Pujian itu diberikan Trump kepada Malaysia menerusi satu hantaran ringkas di aplikasi Truth Details sebelum beliau meninggalkan Kuala Lumpur bagi menyambung kunjungan rasmi ke Jepun hari ini.
“Baru sahaja meninggalkan Malaysia, sebuah negara yang hebat dan sangat bertenaga,” katanya hari ini. Terdahulu, Trump mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Trump dalam hantaran sama turut menyifatkan telah berjaya menyelamatkan ribuan nyawa dan menghentikan perang menerusi perjanjian damai yang dibuat antara Thailand dan Kemboja.
“Telah menandatangani perjanjian perdagangan besar dan perjanjian nadir bumi. Semalam yang paling penting telah menandatangani Perjanjian Damai antara Thailand dan Kemboja. Tiada perang, jutaan nyawa telah diselamatkan.
“Sungguh satu penghormatan dapat merealisasikan ini. Kini, bertolak ke Jepun,” katanya.
Untuk tekod, Trump kini dalam penerbangan ke Jepun dan dijangka tiba sekitar pukul 5 petang waktu tempatan.
Sepanjang lawatan ke Jepun, Trump turut dijadualkan mengadakan rundingan rasmi dengan Perdana Menteri baharu, Sanae Takaichi. – KOSMO! ONLINE














