ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki Bangladesh berdepan detik cemas apabila disamun empat lelaki bersenjata cangkul dalam kejadian di Taman Pulai Mutiara di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, kejadian itu berlaku pukul 7 pagi melibatkan mangsa berusia 43 tahun yang bekerja sebagai tukang rumah.
“Mangsa diserang oleh sekumpulan suspek bersenjatakan cangkul ketika menjalankan kerja di rumah pengadu yang mengupahnya. Mangsa telah diikat sebelum suspek terbabit melarikan beberapa barangan miliknya serta peralatan binaan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menahan empat suspek berusia antara 32 hingga 42 tahun pukul 9 malam tadi di kawasan Taman Pulai Utama, Kangkar Pulai.
Katanya, semakan mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamin.
“Polis turut merampas beberapa barangan termasuk sebuah pemotong rumput, satu grinder serta pakaian dipercayai digunakan semasa kejadian,” ujarnya.
Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan dan bersenjata.-KOSMO! ONLINE














