KUALA LUMPUR – Sejak dianjurkan tiga tahun lalu, Alliance Bank Heritage Run bagi edisi kali ini dianggap paling meriah apabila berjaya mencatat rekod penyertaan dengan 5,500 peserta.
Berlangsung di Pulau Pinang semalam, sambutan luar biasa itu menunjukkan bahawa masyarakat di Malaysia mula memberi penekanan terhadapa gaya hidup sihat.
Ketua Pegawa Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kelle Kam berkata, acara tersebut bertujuan bagi mempromosikan gaya hidup lebih lestari selain menghormati warisan budaya George Town.
“Larian warisan ini mencerminkan dedikasi kami bagi membina komuniti yang lebih bersatu serta mempromosikan kehidupan lestari.
“Melalui acara ini, kami bukan sahaja menghormati warisan budaya George Town, malah menggalakkan tindakan bagi memelihara legasinya buat generasi akan datang,” katanya.
Pada edisi 2025 kali ini, Heritage Run turut memperkenalkan kategori separuh maraton sejauh 21 kilometer (km), sekali gus menawarkan saingan lebih mencabar.
Selain kategori separuh maraton, acara itu turut menawarkan larian kompetitif 12km, larian 7km serta Larian Keluarga 3km bagi menggalakkan penyertaan semua peringkat umur.
Sepanjang melakukan larian, peserta dapat menyelusuri jalan-jalan bersejarah serta mercu tanda ikonik di sekitar George Town.
Bagi kategori 21km lelaki, juara menjadi milik David Kibet diikuti Ow Yong Jin Kuang dan Yeow Ni Jia manakala kategori wanita dimenangi Ong Ee Ling dengan Wong Mi Chi dan Yee Pei Ni masing-masing di tempat kedua serta ketiga. – KOSMO! ONLINE














