SHAH ALAM – Lebih 1,200 kes buli dan salah laku melibatkan pelajar sekolah di seluruh Selangor dicatatkan dalam tempoh 10 bulan tahun ini.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd. Zaini Abu Hassan berkata, daripada jumlah itu, 265 kes buli dan 954 kes lagi salah laku pelajar.
Katanya, daripada kes yang direkodkan itu, sebanyak 41 kertas siasatan dibuka iaitu sembilan kes buli dan 32 kes salah laku lain. “Namun, apabila siasatan dilaksanakan (kes) yang tidak mempunyai keterangan yang cukup dan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
“Namun, kita sentiasa memandang serius kes melibatkan pelajar sekolah sama ada buli, jenayah seksual, gengsterisme dan masalah displin,” katanya pada sidang akhbar selepas program keselamatan sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam di sini, hari ini.
Menurut beliau, jumlah keseluruhan kes sebenarnya adalah rendah dengan mengambil kira bilangan pelajar seramai 997,000 orang di 994 buah sekolah manakala jumlah guru seramai 60,000 orang.
“Di Selangor apapun kita paling banyak dan ada refleksi kepada Malaysia bagi dari segi polis (jumlah kes diterima ) dan pendidikan. Kita semua menjuarai nombor satu. Namun kita okay dan sahut cabaran itu.
“Kita sebut macam besar 1,200 daripada sejuta pelajar (kalau dibundarkan) namun kalau pergi kepada peratusan hanya 0.0125. Adakah ia menunjukkan angka besar? Cuma satu atau dua kes yang memberikan persepsi (masalah sekolah di Selangor teruk),” ujarnya.
Ditanya sama ada masalah itu berlaku kepada sekolah bandar atau pinggir bandar, Mohd. Zaini berkata, ia mempunyai cabaran tersendiri dengan semua sekolah dalam pemantauan pihaknya.
“Jumlah yang berisiko ini dalam kawalan kita dan tiada sekolah yang sangat kritikal (kes jenayah). Kes yang banyak adalah buli dan salah laku bukan serius,” katanya. – KOSMO! ONLINE














