ALOR SETAR – Kota Setar menjadi daerah terbaharu terjejas banjir apabila seramai 225 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir (PPS) yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman setakat pukul 8 pagi ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah, PPS SK Taman Aman dibuka pada pukul 9.30 malam tadi selepas banyak rumah di 11 kampung dalam mukim Anak Bukit, di sini dinaiki air. Katanya, kampung yang terjejas adalah Kampung Alor Gunung, Simpang Tiga Kepala Batas, Kampung Belakang Dewan Persekutuan, Kampung Bohor, Kampung Seberang Istana dan Kampung Seberang Chegar.
“Lima lagi adalah Kampung Alor Senjaya, Kampung Suka Menanti, Kampung Seberang Alor, Kampung Pekan Dalam dan Kampung Seberang Pantai Johor,” katanya hari ini.
Sementara itu, jumlah keseluruhan mangsa banjir di negeri ini menurun sedikit kepada 1,281 mangsa daripada 372 keluarga susulan penutupan kira-kira 10 PPS sehingga semalam.
“Jumlah mangsa tertinggi masih di Kulim iaitu seramai 554 orang diikuti Pendang 330 orang, Kota Setar 225 orang, Pokok Sena 136 orang, Kubang Pasu 23 orang dan Padang Terap 13 orang,” ujarnya.
Sementara itu, tiga sungai yang mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya adalah Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang, Pendang; Sungai Pendang di Pekan Pendang dan Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Kubang Pasu. – KOSMO! ONLINE














