fbpx
IZZAH

Kelekaan punca Izzah tersingkir awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, Harnizam Basri mengakui kelekaan taktikal dan faktor fizikal menjadi antara punca kegagalan Nurul Izzah Izzati Asri dalam acara keirin wanita di Kejohanan Dunia Berbasikal Trek 2025 di Santiago, Chile semalam.

Pelumba berusia 22 tahun itu menamatkan saringan kelima pusingan pertama di tempat ketiga di belakang juara dunia dua kali dari Britain, Emma Finucane dan wakil Jepun, Haruka Nakazawa memaksanya melalui repechage untuk memburu tiket ke suku akhir.

Bagaimanapun, percubaannya tidak berhasil apabila Izzah menamatkan perlumbaan di belakang pelumba Rusia, Alina Lysenko dan Liliya Tatarinoff sekali gus menutup peluang mara lebih jauh.

“Saya agak kecewa kerana Izzah sedikit terleka pada pusingan pertama dan membiarkan Emma ke depan tanpa membuat sebarang tindakan balas atau mengikuti roda lawan.

“Dalam aksi repechage pula, prestasinya tidak mencapai tahap terbaik apabila dia agak lambat melakukan pecutan pada dua selekoh terakhir. Perlumbaan yang berlangsung rapat antara dua pusingan juga menyebabkan badannya masih penat,” kata Harnizam.

Menurut Harnizam, kekalahan itu dijadikan pengajaran penting bagi memperkukuh semula prestasi pelumba muda itu menjelang musim depan.

“Jadi saya ambil kekalahan ni untuk mempertingkatkan lagi prestasi dia untuk tahun depan dan perlumbaan seterusnya,” jelasnya.

Harnizam turut mendedahkan berat badan Izzah kini menurun berbanding tahun lalu, sekali gus memberi kesan kepada kekuatan pecutannya.

“Sebaik pulang ke Malaysia, kita akan lihat balik pelan gim dengan pemakanan Izzah supaya dia kembali ke tahap optimum,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN