ALOR SETAR – Jumlah mangsa banjir di Kedah berkurangan kepada 915 orang daripada 267 keluarga yang masih ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 4 petang ini.
Kesemua mangsa adalah dari daerah Pendang, Kota Setar, Kulim dan Pokok Sena.
Sebuah PPS di daerah Kubang Pasu iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun ditutup pukul 1 tengah hari tadi. Di daerah Kulim pula, tiga PPS ditutup pada pukul 2 petang tadi iaitu di Sekolah Menengah Agama (SMA) Insaniah, Jangkang; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Min dan SJKC Aik Chee.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, jumlah mangsa banjir tertinggi berlindung di PPS adalah di Pendang seramai 411 orang diikuti Kota Setar (228), Kulim (151) dan Pokok Sena (125).
“Setakat pukul 3 petang, dua sungai yang mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya adalah Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Kubang Pasu dan Sungai Pendang di Pekan Pendang,” katanya. – KOSMO! ONLINE














