WASHINGTON – Sebuah helikopter dan jet pejuang, yang kedua-duanya sedang menjalankan operasi rutin dari kapal induk USS Nimitz, terhempas di Laut China Selatan selang 30 minit antara satu sama lain, kata Armada Pasifik Amerika Syarikat (AS) dalam satu kenyataan.
Helikopter MH-60R Sea Hawk milik Tentera Laut AS terhempas kira-kira pukul 2.45 petang (waktu tempatan) semalam.
“Kesemua tiga kru berjaya diselamatkan,” kata Tentera Laut AS.
Tidak lama kemudian pada pukul 3.15 petang, sebuah jet pejuang F/A-18F Super Hornet yang ditugaskan kepada skuadron VFA 22 juga terhempas di perairan Laut China Selatan semasa menjalankan operasi rutin dari kapal Nimitz.
Kedua-dua kru pesawat berjaya mengaktifkan kerusi anjal masing-masing untuk menyelamatkan diri, kata Tentera Laut.
”Semua anggota tentera yang terlibat selamat dan dalam keadaan stabil. Punca kedua-dua insiden sedang disiasat pada masa ini,” kata Armada Pasifik AS dalam kenyataannya. – AGENSI














