PENAMPILAN positif dipamerkan Hakim Danish Ramli beraksi atas tiket wildcard Moto3 pada Grand Prix (GP) Malaysia menjadi bekalan terbaik buat dirinya sebelum memulakan misi lebih besar sebagai pelumba sepenuh masa di Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3 2026.
Pelumba kelahiran Terengganu itu yang sah menandatangani kontrak setahun bersama MSi Racing Team tidak sabar untuk membuat debut penuh di pentas dunia tahun depan sekali gus membuka lembaran baharu dalam karier profesionalnya.
Walaupun gagal menamatkan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam akibat jentera KTM yang dipacunya tiba-tiba hilang daya kuasa, namun ia langsung tidak mematahkan semangatnya.
“Saya terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal sebab masalah teknikal pada jentera. Buat masa sekarang saya belum pasti masalah itu tetapi pasukan sedang periksa untuk kenal pasti apa sebenarnya berlaku.
“Motosikal terus mati di selekoh pertama, jadi tak dapat teruskan perlumbaan dan terpaksa berhenti awal. Secara keseluruhan, saya sangat gembira bersaing dengan barisan pelumba terbaik dunia.
“Satu pengalaman berharga dapat berjuang dengan mereka yang semuanya memang laju. Memang tak sabar untuk mulakan musim 2026 kerana ini peluang besar dan saya akan cuba berikan yang terbaik buat MSi Racing Team,” katanya.
Meskipun berdepan isu teknikal, prestasi keseluruhan sepanjang hujung minggu memberikan keyakinan tinggi terhadap potensi diri pelumba muda berusia 18 tahun itu.
Dalam masa sama, Hakim Danish turut terharu dengan sokongan padu penyokong tempatan yang membanjiri SIC sepanjang hujung minggu GP Malaysia.
Jeritan dan sorakan penyokong Malaysia jelas menjadi sumber inspirasi buatnya untuk terus berjuang dalam perlumbaan tersebut.
“Saya sangat teruja bila ramai rakyat Malaysia datang tengok dan sorak nama saya di grandstand. Itu pengalaman pertama saya dapat sokongan seramai itu dan ia betul-betul bagi semangat besar untuk saya dalam perlumbaan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














