fbpx
TUN MD RAUS akan memilih sendiri ahli jawatankuasa tanpa membabitkan mana-mana individu di FAM untuk memastikan ketelusan siasatan.

FAM lantik Tun Md Raus ketuai jawatankuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEKAS Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa bebas bagi menyiasat isu dokumentasi membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Menerusi satu kenyataan semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelaskan jawatankuasa bebas tidak akan membabitkan mana-mana individu dari badan induk itu bagi memastikan proses siasatan dapat dilaksanakan secara adil, telus dan profesional.

“Berdasarkan kredibiliti dan pengalaman luas beliau, FAM berharap Tun Md Raus bersama-sama ahli jawatankuasa bebas tersebut yang akan dipilih oleh beliau sendiri akan dapat sama-sama menjalankan proses siasatan secara teliti dan menyeluruh sebelum membuat satu rumusan hasil siasatan itu nanti,” kata FAM.

Md Raus memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada tahun 1976, memegang pelbagai jawatan penting termasuk Majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya dan Penasihat Undang-undang bagi negeri Melaka dan Kelantan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1994 dan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1996, kemudian dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan mencapai kemuncak kerjaya kehakimannya apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2017.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini mengenakan hukuman penggantungan 12 bulan dan denda CHF2,000 (RM10,560) terhadap tujuh pemain warisan negara iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal serta Hector Hevel.

Hukuman itu dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas mereka didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen malah FAM pula dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI