PETALING JAYA – Masa depan penganjuran Grand Prix (GP) Malaysia bagi saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) kini bergantung sepenuhnya kepada keputusan Jemaah Menteri dengan satu kertas cadangan mengenainya dijangka dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat.
Litar Antarabangsa Sepang (SIC) meletakkan sepenuh harapan agar kerajaan meluluskan sambungan kontrak bersama pemegang hak komersial, Dorna Sports bagi memastikan acara ikonik itu terus kekal dalam kalendar sukan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, rundingan bersama Dorna kini berjalan lancar dan positif, namun kata putus kerajaan menjadi faktor utama dalam menentukan kesinambungan penganjuran tersebut.
“Kami masih dalam peringkat rundingan bersama Dorna mengenai yuran hak penganjuran. Pada masa sama, satu kertas kerja berkaitan penganjuran MotoGP Malaysia akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
“Sebarang butiran lanjut mengenai tempoh kontrak sama ada ia akan disambung untuk format 3+2 atau terus untuk lima tahun, hanya dapat saya kongsikan selepas kerajaan membuat keputusan.
“Fokus utama kami ketika ini adalah meyakinkan pihak kerajaan penganjuran MotoGP masih amat relevan dan diperlukan oleh negara.
“Seperti perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan, antara justifikasi utama untuk meneruskan penganjuran ini dengan membuktikan kejayaan jualan tiket dan jumlah kehadiran penonton yang sentiasa penuh.
“Namun, ia bukan satu-satunya faktor. Sudah tentu kami turut melihat kepada aspek pulangan pelaburan kepada negara dan potensi-potensi komersial lain yang boleh diterokai daripada kontrak ini,” katanya.
Menurutnya, kejayaan penganjuran GP Malaysia 2025 menarik kehadiran lebih 191,000 penonton sepanjang tiga hari membuktikan impak besar MotoGP terhadap ekonomi dan pelancongan tempatan.
“Walaupun tidak mencapai sasaran 200,000 penonton, Alhamdulillah sambutan tetap luar biasa, terutama dengan adanya penutupan jalan sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung serentak.
“Pada awalnya kami risau tentang lencongan trafik, namun terima kasih kepada semua peminat yang datang awal ke litar. Dengan kerjasama PDRM dan pihak berkuasa lain, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya.
Pada tahun 2026, Dorna mengesahkan bahawa Kuala Lumpur akan menjadi lokasi pelancaran MotoGP selepas menarik balik perancangan asal mereka untuk mengadakan di Singapura.
Dalam masa sama, Shafriman turut memaklumkan perkembangan terkini mengenai insiden ngeri yang berlaku dalam kelas Moto3 semalam melibatkan dua pelumba Jose Antonio Rueda dan Noah Dettwiler.
“Kedua-dua pelumba telah diterbangkan dengan helikopter ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut. Setakat ini, kedua-duanya dalam keadaan sedar dan stabil, namun kita masih menunggu laporan penuh daripada pasukan perubatan dan Dorna,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














