SUNGAI PETANI – Pesalah jalan raya diberi tempoh dua bulan untuk menjelaskan saman tertunggak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi pemberian diskaun 50 peratus bermula 1 November hingga 30 Disember ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, diskaun itu membabitkan semua jenis saman kecuali kesalahan yang tidak boleh dikompaun.
“Pengguna diharap dapat merebut peluang dengan menjelaskan saman tertunggak di mana-mana kaunter JPJ seluruh negara atau saluran yang disediakan. “Bagaimanapun ia tidak membabitkan saman bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun dan perlu hadir ke mahkamah, Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal JPJ (P)23 (115),” katanya pada sidang akhbar Ops Gempur di Plaza Tol Sungai Petani Utara, di sini malam tadi.
Katanya, orang ramai perlu merebut peluang itu kerana diskaun 50 peratus hanya diberi selama dua bulan. Bermula 1 Januari 2026 tiada lagi diskaun bagi kesalahan jalan raya melibatkan JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, melalui Ops Perang Lebih Muatan yang bermula 14 Oktober sehingga 31 Disember ini, pihak JPJ memeriksa 23,300 buah kenderaan dan daripada jumlah itu sebanyak 1,017 kenderaan dikesan membawa barangan melebihi muatan dibenarkan.
“Seramai 1,696 pemandu dan pemilik kenderaan disaman di bawah Akta JPJ 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD) dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 selain 96 lori disita.
“Hampir keseluruhan kenderaan yang disaman membawa muatan batu, kerikil dan besi melebihi muatan dibenarkan dan sememangnya menjadi sasaran kita dalam operasi ini,” ujarnya.
Tambahnya, pihak JPJ sentiasa meneruskan operasi secara berkala bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan, menjamin keselamatan untuk pengguna lain serta memastikan infrastruktur awam terpelihara.- KOSMO! ONLINE














