fbpx
GARNACHO (depan) membuka tirai jaringan awal buat Chelsea, namun belum cukup apabila tewas mengejut kepada Sunderland. - AFP

Chelsea layak dimalukan – Maresca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Kegagalan Chelsea untuk mengekalkan prestasi konsisten menjadi punca kepada kekalahan mengejut 1-2 kepada Sunderland pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge kelmarin.

Pengurus Chelsea, Enzo Maresca menjelaskan apa yang dipamerkan anak-anak buahnya nyata belum mencukupi untuk menafikan permainan baik Sunderland yang kini menempatkan diri dalam kelompok empat teratas liga.

Selepas menewaskan Liverpool di laman sendiri sebelum ini, keputusan itu menghadirkan situasi memeningkan buat Maresca kerana mengalami kekalahan kepada pasukan yang baru sahaja dinaikkan pangkat ke pentas EPL musim ini.

“Kami tidak cukup bagus dan kesan yang kami kena terima adalah cukup teruk. Apabila anda tidak mampu untuk memenangi perlawanan, adalah penting untuk kami tidak catatkan kekalahan.

“Untuk bermain di peringkat ini, kami kena lebih konsisten. Kami hadir dengan rekod empat kemenangan berturut-turut, namun akhirnya ini keputusan yang kami terpaksa terima,” katanya.

Kekalahan itu menyebabkan Chelsea jatuh ke tangga kelapan dan berisiko turun ke kedudukan lebih rendah selepas semua pasukan melengkapkan perlawanan kesembilan minggu ini.

The Blues bermula sempurna apabila membuka jaringan seawal minit keempat menerusi Alejandro Garnacho, namun ia disamakan oleh Wilson Isidor sebelum pemain gantian lawan, Chemsdine Talbi meledak gol kemenangan pada masa kecederaan babak kedua.

“Kami tidak mencipta banyak peluang malah turut terpaksa bergelut. Pemain perlu bermain 100 peratus terutamanya menentang pasukan seperti Sunderland,” tambah Maresca. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN