CAMERON HIGHLANDS – Laluan pejalan kaki (boardwalk) di Taman Eko Rimba Mossy Forest, Brinchang di sini ditutup sementara selepas berlakunya kejadian tanah runtuh di kawasan tersebut pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi apabila struktur tanah berhampiran laluan utama di taman eko rimba berkenaan runtuh dan menghakis kawasan sekitar, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan kepada pengunjung. Bagaimanapun katanya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
“Pejabat Hutan Daerah Cameron Highlands (PHDCH) telah mengambil langkah segera dengan menutup akses ke kawasan boardwalk Mossy Forest.
“PHDCH juga membatalkan semua aktiviti di dalam hutan simpanan kekal berkenaan sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, tiada premis perniagaan atau kemudahan awam lain terjejas susulan kejadian tersebut dan pihaknya akan bekerjasama dengan jabatan berkaitan untuk memastikan kawasan terlibat benar-benar selamat sebelum dibuka semula.- KOSMO! ONLINE














