BESUT – Usahawan hartanah, Datuk Mohamad Azlan Abdullah @ Ali, 38, atau dikenali sebagai Azlan Al Amin dan adiknya, Mohd. Mustakim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merosakkan kereta seorang jurujual kad sim telekomunikasi pada Khamis lalu.
Kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) tersebut membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud.
Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Azlan dan Mohd. Mustakim didakwa merosakkan sebuah kereta Perodua Bezza dinaiki Wan Hafizie Wan Mohamd, 36, yang menyebabkan kerugian RM5,000.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan kedua-dua OKS di hadapan rumah mereka di Kampung Pengkalan Buluh, Jerteh di sini pada pukul 11 malam, 23 Oktober lalu.
Mohamad Azlan dan Mohd. Mustakim didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sakit kesalahan.
Mohd. Mustakim bersama tiga pekerja Mohamad Azlan lain iaitu Ramli Mohd., 56; Muhammad Shafiq Hakimi Hussain, 21 dan Muhammad Haiqal Mirzan Mohd. Mazli, 23, turut menghadapi pertuduhan
menyebabkan kecederaan Wan Hafizie pada lokasi, masa dan tarikh sama.
Kesemua tertuduh yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Wan Hafizie pula dihadapkan atas dua pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Mohamad Azlan dan Mohd. Mustakim pada lokasi, waktu dan tarikh sama.
Dia yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 jika sabit kesalahan.
Kosmo! Ahad semalam melaporkan kesemua enam lelaki itu telah ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan disebabkan salah faham berlaku di hadapan rumah Mohamad Azlan yang tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE














