KOTA TINGGI – Mangsa kemalangan maut di Kilometer (KM) 18, Jalan Mawai-Kuala Sedili di sini petang semalam sempat berpesan kepada anak-anak supaya jenazahnya dikebumikan di kampung halamannya di Felda Lok Heng Timur sekiranya dia meninggal dunia.
Dalam kejadian itu, Idris Abd Rahman, 71, yang merupakan pemandu Proton Waja meninggal dunia bersama seorang lagi mangsa, Nazaruddin Mohd. Nadzri, 29, yang memandu Perodua Alza.
Anaknya, Susilawati Idris, 43, berkata, bapanya sudah tiga tahun tidak tinggal di tanah rancangan itu selepas berkahwin dengan isteri baharu dia tinggal di Kampung Sayang Tanjung Sedili di sini bersama ibu tiri mereka.
Katanya, ibu kandungnya telah lama meninggal dunia dan bapa telah mengambil keputusan bernikah baru namun dalam masa sama berpesan kepada anak-anak agar jasadnya dikebumikan di satu tanah perkuburan dengan isteri pertamanya itu.
Menurutnya, bapa juga sememangnya dikenali oleh penduduk kampung itu kerana pernah menjadi tukang urut.
“Arwah pernah pesan, kalau dia meninggal dunia dia nak dikebumikan di sini. Saya yang menuntut jenazah arwah semalam dan selepas selesai bedah siasat jenazahnya dibawa ke rumah sebelum dibawa ke masjid seperti mana permintaannya.
“Jenazahnya selamat dikebumikan kira-kira pukul 9 malam selepas Isyak. Ibu tiri dan ahli keluarga sebelah sana juga ada datang sekali mereka juga perkenan hasrat arwah yang mahu dikebumikan di sini,” katanya ketika ditemui di Felda Lok Heng Timur di sini hari ini.
Anak kedua dari lima beradik itu berkata, dia dimaklumkan kemalangan menimpa bapanya kira-kira pukul 1.50 tengah hari selepas dihubungi abang iparnya.
Katanya, semasa kejadian, dia difahamkan bapanya bersama anak tiri dan cucunya dalam perjalanan menghala ke pekan Sedili dengan menaiki Proton Waja yang baharu setahun dibelinya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihak polis menerima maklumat kejadian kemalangan itu pada pukul 1.15 petang melibatkan sebuah Proton Waja dan Perodua Alza.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Waja telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Alza.-KOSMO! ONLINE














