KUALA LUMPUR- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menzahirkan komitmen bagi memastikan pelaksanaan fasa pertama genjatan di Gaza dapat dikekalkan selain perjanjian damai dilaksanakan sepenuhnya.
Dalam konteks ini, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, pertubuhan itu turut bersedia memainkan apa jua peranan yang akan ditentukan oleh pihak terlibat dalam proses berkenaan.
”Pertama sekali, berhubung isu Gaza saya ingin menyatakan penghargaan yang mendalam terhadap dasar luar Malaysia yang konsisten dan berprinsip.
“Malaysia tidak mengamalkan dwi-standard dan sentiasa memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta menubuhkan negara mereka.
“Apa yang penting sekarang memastikan gencatan senjata dikekalkan dan fasa pertama perjanjian itu dilaksanakan sepenuhnya,” katanya pada sidang akhbar sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini tadi.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai keperluan melakukan reformasi PBB, Guterres berkata, United Kingdom dan Perancis telah mengemukakan cadangan mengehadkan penggunaan kuasa veto dalam keadaan tertentu.
“PBB kini berdepan masalah daripada segi keabsahan dan keberkesanan yang mana komposisimya tidak lagi mencerminkan realiti dunia pada masa kini.
“Kita mempunyai tiga ahli tetap dari Eropah, Perancis, United Kingdom dan Rusia, tetapi hanya satu dari Asia dan tiada wakil dari Amerika Latin atau Afrika.
“Ini jelas menunjukkan bahawa PBB tidak lagi mewakili dunia sebagaimana keadaannya hari ini,” katanya.
Susulan keadaan itu, katanya, wujud keperluan untuk memastikan penglibatan wakil tetap dari Afrika iaitu sekurang-kurangnya dua kerusi tetap serta menambah bilangan wakil tetap dari Asia. – KOSMO! ONLINE














