KUALA LUMPUR – Malaysia menggesa rakan anggota ASEAN untuk membenarkan Myanmar mengurus hal ehwal negaranya melalui mekanisme nasional sendiri dengan penglibatan semua pihak berkepentingan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa sama beliau juga menyeru negara serantau ASEAN untuk meneruskan penglibatan dan bantuan kemanusiaan ke Myanmar.
“Kita masih komited terhadap pelaksanaan Konsensus Lima Perkara.
“Namun saya harus mengakui bahawa dalam dua pertemuan saya dengan rakan-rakan ASEAN, kita melihat kerjasama dan keterlibatan positif daripada pihak pimpinan Myanmar termasuk Jeneral Min Aung Hlaing,” katanya berucap sempena Sidang Kemuncak ASEAN-Asia Timur ke-20 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Anwar berkata, selepas kejadian gempa bumi di Myanmar dan ketika pertemuan dengan ketua junta di Bangkok, beliau menegaskan bahawa ASEAN komited memberikan segala bentuk bantuan kemanusiaan diperlukan dengan dua syarat utama.
Katanya, syarat tersebut ialah gencatan senjata dan menghentikan pengeboman selain akses kepada bantuan kemanusiaan termasuk hospital medan tentera ASEAN di Myanmar.
“Saya ingin memuji bahawa beliau bersetuju dengan perkara ini. Sepanjang tahun lalu, kita melihat kemajuan relatif walaupun masih terdapat aduan tentang insiden tembakan, tetapi tidak lagi pada skala besar seperti sebelumnya.
“Saya bertemu beliau sekali lagi di Beijing dan menyeru kepada gencatan senjata, selain mengingatkan tentang konsensus ASEAN berhubung keperluan pilihan raya yang inklusif, adil dan bebas,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, malah kesemua 27 kumpulan pembangkang dan minoriti di Myanmar turut dijemput ke Kuala Lumpur untuk berinteraksi dengan semua pihak.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, ASEAN bimbang dengan peningkatan terkini pelancaran peluru berpandu balistik oleh Demokrat Republik Rakyat Korea (DPRK).
“Namun, pendirian Malaysia ialah untuk terus menggalakkan pendekatan berasaskan penglibatan (engagement).
“Apabila kita menyeru kepada dialog dalam semua isu dari Gaza ke Ukraine dan Myanmar, kita tidak sepatutnya mengecualikan DPRK daripada pendekatan yang sama,” tegas beliau. – KOSMO! ONLINE














