KUALA LUMPUR – Semua anggota negara ASEAN diseru untuk memperbaharui matlamat bersama dengan mempromosikan pendekatan yang berprinsip dan berpandangan jauh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN perlu menegaskan pendirian terhadap keamanan dan keselamatan sejagat, menyokong multilateralisme dan undang-undang antarabangsa.
“20 tahun lalu, pemimpin terdahulu memiliki kebijaksanaan dan pandangan jauh menubuhkan Sidang Kemuncak Asia Timur bagi mengadakan dialog mengenai isu strategik, politik dan ekonomi yang menjadi kepentingan bersama.
“Forum ini berusaha memperkukuh norma-norma sejagat dan nilai-nilai yang diiktiraf secara universal, dengan ASEAN sebagai penggerak utamanya,” katanya pada Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Menurut Anwar, antara isu utama yang perlu diberikan perhatian adalah konflik yang berlaku di Gaza, Palestin.
“Kita sememangnya mengalu-alukan pelan komprehensif Presiden Donald Trump untuk menamatkan konflik di Gaza. Ini satu permulaan penting dan kritikal bagi menghentikan kegilaan, pembunuhan beramai-ramai serta kekejaman yang berlaku,” ujarnya.
Namun begitu, Anwar berkata, usaha tersebut mesti diteruskan dan dipantau secara rapi agar keamanan yang berkekalan, keadilan, serta penyelesaian politik yang mampan bagi Palestin dapat dicapai. – KOSMO! ONLINE














