KUALA LUMPUR – Pasukan dapur Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bersiap sedia sepanjang masa bagi menyediakan hidangan untuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.
Ia berikutan, Anwar yang merupakan Pengerusi ASEAN 2025 mempunyai jadual padat dengan pelbagai mesyuarat dan persidangan yang perlu dihadiri sepanjang tiga hari.
Cef Eksekutif Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Cef Hisham Jaafar berkata, pihaknya sentiasa bersedia menunggu arahan daripada Pejabat Perdana Menteri berhubung penyediaan makanan pemimpin negara itu.
“Kita memang bersedia sepanjang masa. Untuk makanan Perdana Menteri (Anwar), kita akan sediakan mengikut apa yang beliau mohon.
“Tetapi dengan jadual yang padat seperti persidangan ini, kadang kala beliau perlu cepat. Antara makanan pilihan atau kegemaran beliau adalah cucur pisang dan kurma,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Mengulas lanjut, Hisham berkata, pihaknya perlu menyediakan hidangan secepat mungkin dalam tempoh 15 hingga 20 minit.
Bagaimanapun, menurutnya, menguruskan hidangan Perdana Menteri bukan satu tugas yang sukar kerana tidak cerewet, namun beliau tetap tidak mengambil mudah.
“Beliau (Anwar) tidak cerewet, semua makanan beliau okey, namun lebih menyukai makanan yang sihat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














