PETALING JAYA – Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari ini memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama ekonomi serantau, transformasi digital, peralihan tenaga bersih serta ketahanan rantaian bekalan.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, lima sidang utama dijadual berlangsung hari ini.
“Hari ini, perjalanan diplomasi ASEAN diteruskan dengan lima sidang utama (iaitu) Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea ke-26, Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three ke-28 dan Sidang Kemuncak Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) ke-5.
“(Turut dijadualkan berlangsung) Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-15,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Taklimat Pejabat Perdana Menteri bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, hari ini.
Selain itu Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka turut mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan-rakan pimpinan lain.
“Mengakhiri hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN dengan penganjuran Majlis Makan Malam Gala ASEAN bersama para pemimpin ASEAN dan rakan-rakan dialog,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














