KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao sekali lagi mencuri tumpuan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari ini dengan gelagatnya yang spontan dan suka bergurau.
Ketika ditemui selepas Sidang Kemuncak ASEAN-Republic of Korea, Gusmao menjelaskan bahawa terlalu banyak yang perlu ‘diproses’ di dalam fikirannya.
“Satu hari ini, empat lima enam difikirkan di dalam kepala,” sambil menyentuh dahi seorang petugas media dengan gaya berjenaka.
Gusmao sebelum itu dilihat sempat memberikan beberapa biji gula-gula kepada petugas media.
Sementara itu, wartawan tempatan Hafiz Ithnin berkata, dia melihat reaksi Gusmao tersebut sebagai sesuatu yang bersifat gurauan.
“Memandangkan kita berada di dalam persidangan yang serius, kemudian bertemu dengan pemimpin yang bersahaja dan santai, sekurang-kurangnya boleh menjadikan suasana lebih ceria,” katanya.
Pemimpin negara termuda ASEAN itu sentiasa dilihat sebagai seorang yang mesra dan disenangi selain sering menyantuni petugas media sepenjang persidangan berprestii itu berlangsung.
Terdahulu, Timor-Leste secara rasmi menyertai ASEAN sebagai negara anggota ke-11 blok serantau itu. – KOSMO! ONLINE














