ALOR SETAR – Penduduk Kampung Alor Gunung, di sini bimbang berlaku banjir termenung berikutan paras air yang memenuhi kawasan rumah mereka surut dengan perlahan.
Menurut Salmah Ismail, 56, rumahnya masih digenangi air sehingga paras betis sejak kelmarin menyebabkan dia terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman, di sini.
“Banjir kali ini tidak seteruk tahun lalu yang mana rumah tenggelam sehingga paras dada. Tahun lalu empat kali kami hadap banjir, tahun ini baru kali pertama air masuk rumah.
“Sebenarnya saya dan suami sudah dalam keadaan berjaga-jaga kerana Alor Setar biasanya akan banjir apabila air turun dari daerah terjejas lain seperti Padang Terap dan Pokok Sena,” katanya ketika ditemui di PPS SK Taman Aman, di sini hari ini.
Katanya, dia berharap air surut dengan cepat dan cuaca kekal baik.
“Kalau boleh, saya tidak mahu duduk di PPS lama. Tahun lalu saya pernah berlindung di PPS selama sembilan hari akibat banjir,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Nur Ushadiani Roslan, 26, berkata, dia bersama keluarga sempat mengangkat barangan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh ke tempat tinggi.
“Ada tempat yang sampai paras pinggang. Lepas banjir itu saya bawa dua anak menumpang rumah mentua. Hari ini baru saya datang ke PPS untuk mendaftar masuk kerana air belum surut.
“Banjir surut tetapi agak perlahan dan paras sungai masih tinggi. Saya harap tak berlaku hujan lagi,” katanya.
Menurutnya, rumah yang didiaminya sememangnya kerap banjir kerana terletak berhampiran sungai.
“Bila banjir, selain harta benda rosak, ia juga memenatkan kerana perlu mencuci rumah dan barang yang diselaputi air kotor. Lebih seminggu juga nak cuci semua itu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd. Zain berkata, paras sungai di kawasan hulu didapati semakin menurun, namun terdapat peningkatan di bahagian hilir iaitu di daerah Kota Setar sebelum mengalir ke laut.
“Walaupun keadaan cuaca baik, paras sungai di sini menunjukkan peningkatan, jadi saya menasihatkan orang ramai agar peka dengan keadaan semasa dan segera berpindah sekiranya diarahkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














