SHAH ALAM – Polis Selangor menjalankan 79 pemeriksaan mengejut di sekolah dan asrama di negeri ini dalam dua hari sebagai usaha untuk meningkatkan keselamatan dan disiplin pelajar.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd. Zaini Abu Hassan berkata, pemeriksaan dilakukan pada pukul 2 hingga 3 pagi bagi mengesan sebarang salah laku termasuk aktiviti pelajar yang tidak tidur dan berpotensi menimbulkan insiden tidak diingini.
Katanya, pemeriksaan terhadap kandungan telefon bimbit pelajar turut dilaksanakan sekiranya terdapat maklumat yang memerlukan tindakan lanjut dan ia dilakukan dengan kerjasama pihak sekolah.
“Kita pergi pada waktu (pukul) 2 atau 3 pagi ketika pelajar sepatutnya tidur bagi mengelak sebarang isu tidak diingini.
“(Periksa kandungan tidak bermoral dalam telefon bimbit) sekiranya ada maklumat, kita akan buatnya,” katanya pada sidang akhbar selepas program keselamatan sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam di sini, hari ini.

Beliau berkata, rondaan berkala menerusi kenderaan peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di kawasan sekolah turut diperhebat bagi memastikan keselamatan persekitaran sentiasa terjamin.
Jelasnya, usaha pencegahan itu turut diperkukuh melalui penglibatan pegawai perhubungan sekolah (PPS), pentadbir, guru, ibu bapa dan pelajar menerusi sesi libat urus berkala.
“Sementara itu, sekolah dinasihatkan supaya memperketatkan prosedur keselamatan dalaman, manakala ibu bapa digalak memantau tingkah laku serta penggunaan internet anak-anak,” katanya.
Tambahnya, pelajar dan ibu bapa digalakkan menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk melaporkan sebarang kesalahan kepada polis.
“Selain itu, pegawai PPS kini dilantik sebagai ahli ex-officio Jawatankuasa Keselamatan Sekolah di bawah Arahan Pentadbiran Polis No. 171 bagi mempertingkatkan langkah pencegahan secara menyeluruh,” katanya. – KOSMO! ONLINE














