Kebelakangan ini, aktiviti pendakian semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat negara ini.
Dari sekadar hobi hujung minggu, ia kini menjadi satu gaya hidup yang melambangkan semangat cabaran, ketahanan diri dan kecintaan terhadap alam semula jadi.
Bagi industri pendakian, malim gunung yang sebelum ini bernaung di bawah persatuan atau badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kini diselaraskan di bawah Jabatan Perhutanan dikenali sebagai Malim Gunung Perhutanan (MGP).
MGP diwujudkan dengan tujuan untuk menyediakan panduan pendakian dan memastikan keselamatan pendaki serta menjaga kawasan hutan mengikut negeri mereka beroperasi.
Bagaimanapun, negara baru-baru ini dikejutkan dengan tragedi kematian seorang lelaki di puncak Gunung Liang, Perak yang dilaporkan hilang ketika mendaki bersama lapan pendaki serta dua MGP.
Difahamkan, mangsa, Mustaqqem Mansoor meninggal dunia akibat hipotermia dan ditemui berseorangan dalam posisi berbaring mengiring.
Bagi mengupas isu ini, wartawan Kosmo! Ahad, Harrith Hisham menemu bual Presiden Persatuan Malim Gunung Malaysia (PMGM), Muzafar Mohamad.

Pemandu arah (guide) dan sweeper?
Muzafar: Secara ringkasnya tugas malim gunung adalah untuk memastikan sesuatu ekspedisi mendaki dilaksanakan dengan selamat.
Ia meliputi dari aspek sebelum, semasa dan selepas ekspedisi dijalankan.
Ini termasuk memohon kebenaran masuk dan keluar dari pihak berkuasa, memastikan peserta selamat selain selesa dalam pendakian dengan mengikut jadual ekspedisi yang munasabah dan menggunakan komunikasi yang jelas dan berkesan.
Sweeper pula merujuk pada peranan individu yang berada di belakang dalam suatu ekspedisi yang biasanya dipikul oleh ahli pasukan sendiri semasa perjalanan mula mendaki, manakala tanggungjawab itu akan bersilih ganti dipikul peserta dan malim semasa proses turun dan keluar.
Selesai aktiviti mendaki, malim lazimnya akan mendapatkan maklum balas pendaki disamping melapor keluar aktiviti kepada pihak berwajib.
Adakah malim gunung bertanggungjawab sepenuhnya ke atas peserta pendakian?
Betul, malim bertanggungjawab sepenuhnya atas keselamatan pendaki sebab bawah terma duty of care tugas itu sebahagian daripada peranan yang perlu dijalankan sedaya upaya oleh malim itu sendiri.
Apakah prosedur operasi standard (SOP) pendakian di gunung dan bukit?
SOP pendakian membabitkan malim gunung meliputi aspek penuh ke atas tanggungjawab malim dengan peserta, pematuhan peraturan pihak berkuasa dan kebertanggungjawaban malim terhadap alam sekitar.
Perincian SOP pendakian bagaimanapun adalah berbeza mengikut negeri masing-masing.
Sekiranya terjadi kemalangan kepada peserta, apakah SOP kecemasan yang akan diambil oleh malim?
SOP terawal yang perlu diambil adalah S-T-O-P. Stop (berhenti) dan berkumpul dengan semua ahli ekspedisi demi memastikan keberadaan ahli ekspedisi.
Think (berfikir) dan berbincang dengan ketua ekspedisi dan ahli berkenaan situasi yang berlaku dan bertanya terus kepada semua akan keadaan mereka dan punca kejadian, bincang atau maklumkan langkah-langkah yang perlu diambil.
Observe (perhatikan) tanda-tanda keresahan ahli, peluang menyelamat atau mencari jika ada kes sesat, perhatikan kekuatan individu yang boleh digunakan dalam pelan kecamasan malim.
Plan (rancang) dan laksana seberapa segara pelan kecemasan yang dibuat, jika perlu dapatkan bantuan luar dengan menugaskan individu atau malim sendiri untuk mendapat bantuan.
Adakah MGP dilengkapi dengan latihan dan kursus sebelum dibenarkan bertugas?
Ya, dari segi pembangunan personaliti malim, perundangan, peranan dan tanggungjawab malim, kaedah komunikasi dan asas pembacaan peta.
Selain itu, malim juga menjalani kursus memberikan bantuan pernafasan (CPR) termasuk asas menyelamat di arus deras.
Berhubung cuaca dan keadaan hutan, apakah risiko pendakian di negara ini ?
Risiko pendakian di Malaysia yang paling besar kebarangkalian sesat, tercedera ataupun kematian yang berpunca dari keadaan geografi muka bumi, kepadatan hutan, cuaca panas lembab serta kesejukan di sesetengah gunung.
Adakah kes hipotermia sering berlaku di dalam pendakian di negara ini seperti yang terjadi ke atas seorang pendaki di Gunung Liang baru-baru ini?
Ia suatu yang sering berlaku dalam aktiviti pendakian gunung di mana-mana sahaja lebih-lebih lagi dalam cuaca buruk seperti hujan lebat atau ribut menyebabkan individu tersebut terdedah kepada keadaan lembap dan angin kencang.
Apakah langkah penambahbaikan yang boleh dilakukan bagi mengelak kejadian di Gunung Liang berulang?
Antara yang boleh diambil adalah memastikan jadual perjalanan yang lebih munasabah bagi tujuan pendakian ekspedisi TransSemaliang mahupun TransSlim.
Selain itu, membuat pemilihan peserta yang benar-benar layak sahaja untuk mengikuti pendakian bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku.
Pemilihan malim yang benar-benar layak juga perlu termasuk memastikan penggunaan pakaian yang sesuai untuk kegunaan ekspedisi.
Berapa kadar harga yang dikenakan malim gunung untuk sehari?
Secara purata, malim mengenakan upah sekitar RM250 sehingga RM300 sehari bagi membawa tujuh pendaki.
Bagaimanapun, harga yang dikenakan berbeza mengikut lokasi dan kawasan pendakian terletak dalam zon pelancongan biasanya lebih mahal seperti Cameron Highlands.
Selain itu, ia bergantung pada tempoh masa pendakian.
Bagi setiap perkhidmatan malim gunung, apakah khidmat wajib dan tidak (add on)?
Khidmat wajib yang disediakan malim adalah menjaga keselamatan peserta, komunikasi yang jelas sepanjang program dan memberi rawatan awal.
Namun, peserta boleh memohon untuk mendapatkan perkidmatan tambahan sekiranya memerlukan porter (pembawa barang), tukang masak termasuk jurufoto.
Apakah pendangan tuan mengenai trip compress?
Bagi saya, trip compress atau pendakian padat dan pantas suatu cabaran lebih ekstrem. Bukan semua peserta atau malim sesuai bagi trip ini, malah lokasi dan masa ekspedisi juga memainkan peranan.
Namun, trip compress ini ada kebaikan pada alam, kerana memberi impak rendah terhadap kerosakan alam.
Tiada keperluan berkhemah, lantai hutan tidak rosak kerana beban berjalan yang rendah, kedamaian hutan sebab keberadaan manusia di lokasi sekejap sahaja membolehkan hidupan menjalankan aktiviti normal dengan gangguan yang sedikit.














