PETALING JAYA – Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini memohon maaf kepada Presiden dan Kerajaan Republik Indonesia susulan kesilapan pengulasnya yang tersilap menyebut nama Presiden negara itu ketika siaran langsung Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Menurut kenyataan Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Penyiaran Malaysia, siasatan dalaman mendapati pengulas berkenaan secara tidak sengaja menyebut nama Joko Widodo sebagai Presiden Republik Indonesia.
“terdapat kesilapan oleh pengulas siaran yang telah menyebut nama Presiden Republik Indonesia sebagai Joko Widodo, sedangkan Presiden Republik Indonesia yang terkini ialah Prabowo Subianto,” katanya dalam kenyataan hari ini.
RTM menjelaskan, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan tindakan sewajarnya telah diambil terhadap individu terlibat.
“RTM dengan ini memohon maaf kepada Presiden dan Kerajaan Republik Indonesia serta semua pihak yang terkesan akibat kesilapan ini,” ujarnya.
Pada masa sama, jabatan itu menegaskan komitmen untuk mempertingkat kawalan editorial serta semakan fakta agar setiap maklumat yang disampaikan lebih tepat dan berintegriti.- KOSMO! ONLINE.














