PROJEK pasukan kebangsaan tidak boleh dilabel sebagai gagal walaupun arena bola sepak negara dipalit dengan hukuman oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) atas isu dokumentasi palsu membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, baginda tidak akan berhenti untuk membantu meningkatkan tahap bola sepak negara termasuk dalam hal membabitkan skuad kebangsaan.
“Saya rasa ia tidak gagal sebab jika anda cakap mengenai struktur bola sepak, anda boleh lihat struktur bawah Peter (Cklamovski).
“Pemain tidak keliru, mereka tahu bagaimana nak main dan dari segi taktikal serta teknikal, saya lihat ada peningkatan. Bagi saya, saya akan berjuang untuk pemain sebab mereka adalah rakyat Malaysia dan mereka berhak mewakili negara,” titah baginda.
Tujuh pemain itu adalah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.
Rentetan daripada isu dokumentasi itu, FAM turut dikenakan denda kira-kira RM1.8 juta manakala setiap pemain didenda RM10,560 serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Dalam masa sama, Tunku Mahkota Ismail memberikan bayangan FIFA tidak akan mengubah keputusan yang telah dibuat sebelum ini walaupun berharap jumlah hukuman itu akan dikurangkan.
“Saya rasa FIFA tak akan tukar keputusan, mungkin hanya ringankan hukuman tersebut. Mereka mungkin akan denda, potong mata Harimau Malaya dan menggantung pemain-pemain terlibat.
“Walau apa pun keputusan nanti, peguam kami tetap akan berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini. Sebab itu FAM masih berjuang hingga ke peringkat ini,” katanya.














