DI sebalik imej Hong Kong sebagai kota moden dengan bangunan pencakar langit dan jalan raya sibuk, tersimpan alam semula jadi yang menjadi idaman para pendaki di seluruh dunia.
Bagi pengembara muda, Muhammad Adib Haikal Awang Mansor, Hong Kong bukan sekadar destinasi membeli-belah, sebaliknya sebuah negara yang menawarkan kepuasan mendaki.
Baru-baru ini, pemuda berusia 26 tahun tersebut berkunjung ke Hong Kong selama tujuh hari enam malam dengan menjadikan aktiviti mendaki sebagai tujuan utamanya.
Lantau Trail, MacLehose Trail dan Hong Kong Trail masing-masing menampilkan kombinasi gunung serta bukit dengan pemandangan menakjubkan.
Menurutnya, keputusan menjadikan aktiviti hiking sebagai fokus utama tercetus selepas menyedari Hong Kong mempunyai sistem laluan yang sangat baik dan terpelihara.
“Saya memang suka mendaki. Pada saya, setiap trail di Hong Kong tidak sekadar menawarkan pemandangan yang menakjubkan buat para pendaki.
“Kemudahannya sangat baik, lengkap dengan penunjuk arah yang jelas, kawasan perkhemahan terjaga serta mudah mengakses pengangkutan awam,” katanya kepada CitaRasa.
Bagi pendakian utama, Muhammad Adib menakluk Lantau Peak iaitu satu-satunya gunung tinggi dalam ekspedisinya yang terletak dalam Lantau Trail Section 1 hingga 3.
Jarak laluan adalah kira-kira 15 kilometer dengan elevasi sekitar 1,000 meter.
Anak kelahiran Perak itu turut mendaki beberapa puncak lain seperti Ma On Shan Peak, Pyramid Hill, Dragon’s Back dan Kwun Yam Shan yang terkenal sebagai laluan bukit untuk pendakian sederhana.

malam di Ngong
Ping Campsite
dengan berlatarbelakangkan Pyramid Hill.
Ketika pendakian itu dia bermalam di Lan Tau Ying Campsite No. 18 iaitu sebuah tapak perkhemahan yang agak sunyi dan sesuai untuk berehat selepas perjalanan panjang.
Suasana di situ amat mendamaikan dengan pemandangan gunung dan langit terbuka luas.
Secara keseluruhannya, Muhammad Adib menganggarkan dia telah berjalan lebih 60 kilometer dengan jumlah pendakian keseluruhan hampir 3,000 meter.
Muhammad Adib mengakui pengalaman mendaki di Hong Kong berbeza kerana kebanyakan laluannya direka untuk pendaki urban yang ingin lari seketika daripada kesibukan kota.
“Pengalaman mendaki di Hong Kong sangat berbeza berbanding di negara Asia Tenggara lain.
“Kebanyakan laluan di sana memang direka untuk pendaki urban yang ingin sejenak melepaskan diri daripada kesibukan kota.

“Dalam tempoh kurang satu jam dari pusat bandar, seseorang sudah boleh berada di tengah-tengah hutan atau di lereng gunung sunyi,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Adib menasihatkan mereka yang ingin mencuba aktiviti hiking di Hong Kong supaya sentiasa bersedia dari segi fizikal dan logistik.
Setiap laluan memerlukan stamina serta perancangan rapi, namun ganjaran berupa pemandangan indah dan ketenangan dapat diperoleh selepas sampai ke puncak.
“Bagi saya, Hong Kong adalah destinasi ideal untuk mereka yang suka mendaki tetapi masih mahu kemudahan moden di sekeliling.
“Laluan di sini terurus, selamat dan sangat cantik. Cukup untuk buat saya rasa mahu kembali lagi pada suatu hari nanti,” katanya.














