fbpx
Hun Manet (dua kanan) ketika memeterai perjanjian damai sambil disaksikan Trump (kanan) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur hari ini.

PM Kemboja cadang Trump terima Hadiah Nobel Keamanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet mencadangkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebagai penerima Hadiah Nobel Keamanan bagi menghargai peranan penting dimainkan pemimpin utama dunia itu dalam mewujudkan pendamaian antara Kemboja dan Thailand.

Menurut Hun Manet, cadangan untuk Trump menerima hadiah Nobel itu juga dibuat sebagai mencerminkan penghargaan rakyat Kemboja kepada Trump yang berperanan menjadi pendamai antara kedua negara.

Katanya, pemeteraian perjanjian damai itu juga merupakan satu detik sejarah yang mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam menamatkan pertikaian secara aman seterusnya membina masa depan stabil. “Sebagai tanda penghargaan rakyat Kemboja, saya telah menamakan Trump untuk Hadiah Nobel Keamanan.

“Beliau telah menyelamatkan nyawa dan ini adalah pengiktirafan daripada rakyat kami atas sumbangan beliau,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Perjanjian Damai Kemboja-Thailand sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pada masa sama, Hun Manet turut memaklumkan kedua-dua pihak kini dalam usaha melaksanakan fasa pertama penarikan senjata sebagai bukti kesediaan melaksanakan deklarasi bersama yang telah ditandatangani.

“Saya amat berharap pembebasan segera 18 anggota tentera kami atas dasar kemanusiaan dapat direalisasikan seperti dipersetujui dalam deklarasi bersama itu,” katanya.

Hun Manet turut merakamkan penghargaan kepada Trump atas kepimpinan tegas dan komitmen berterusan dalam menyokong keamanan berkekalan antara Kemboja dan Thailand.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada rakan-rakan ASEAN termasuk China dan rakan antarabangsa lain yang membantu sejak awal pelaksanaan gencatan senjata berkenaan.

“Kami menghargai prinsip yang menjadi asas deklarasi bersama itu, walau sukar mana sekali pun, ia mesti diselesaikan melalui cara aman selaras dengan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Kata Hun Manet, Kemboja juga menyatakan kekal komitmen dalam melaksanakan deklarasi bersama itu dan sedia bekerjasama dengan Thailand serta rakan antarabangsa lain bagi memastikan usaha damai dapat dikekalkan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN