KUALA LUMPUR – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bakal memperkenalkan Piala ASEAN FIFA menerusi pembaharuan Perjanjian Persefahaman (MoU) ASEAN-FIFA .
Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata, piala berprestij itu akan dianjurkan bersama dengan penyertaan kesemua 11 negara ASEAN.
“Kami melancarkan pertandingan ini bagi memberikan rangsangan sebenar kepada bola sepak serantau dengan kehadiran pemain-pemain terbaik, selaras dengan kalendar perlawanan antarabangsa FIFA.
“Langkah ini bertujuan memastikan bola sepak di rantau ASEAN benar-benar memberi impak dan mampu menyerlah di pentas dunia,” katanya selepas majlis menandatangani MoU berkenaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Infantino berkata, bola sepak berperanan menyatukan dunia dan melalui kerjasama dengan ASEAN, FIFA berharap dapat memperkukuh semangat perpaduan serantau.
“FIFA menyatukan dunia bersama semua 11 negara ASEAN. Kami mencipta Piala ASEAN FIFA dan ia akan menjadi kejayaan besar di rantau ini,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, kerjasama antara FIFA dan ASEAN bakal membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh pembangunan bola sepak di rantau ini, khususnya dalam kalangan belia dan komuniti luar bandar.
“Dalam konteks sukan rakyat, khususnya dalam kalangan belia serta sukan yang digemari ramai, ia merupakan keutamaan bagi rantau ini dalam usaha membina barisan pemimpin baharu.
“Usaha ini juga bertujuan memberi pendedahan dan latihan kepada mereka, dan saya amat berterima kasih kepada FIFA atas galakan serta sokongan yang diberikan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














