PETALING JAYA – Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari ini bakal mencatat detik bersejarah apabila berlangsungnya majlis pemeteraian Perjanjian Damai Thailand–Kemboja yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Perjanjian itu menandakan kejayaan penting usaha diplomasi damai ASEAN dalam menyelesaikan pertikaian serantau secara aman dan konstruktif, sekali gus memperkukuh kepercayaan terhadap peranan Malaysia sebagai pemudah cara keamanan di rantau ini.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata majlis berkenaan menjadi antara kemuncak kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung hari ini. “Majlis ini melambangkan kejayaan diplomasi damai ASEAN dalam menyelesaikan pertikaian secara aman dan konstruktif
“(Ini) sekaligus memperkukuhkan kepercayaan terhadap peranan Malaysia sebagai pemudah cara keamanan serantau. katanya dalam taklimat Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.
Katanya, Kuala Lumpur menjadi tumpuan dunia apabila Malaysia secara rasminya membuka tirai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, menandakan kemuncak kepada setahun kepimpinan negara sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
“Di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, Malaysia sekali lagi membuktikan keupayaannya memimpin rantau ini dengan visi berpaksikan perpaduan, keadilan dan masa depan yang mampan.
“Sidang kemuncak kali ini menghimpunkan pemimpin ASEAN bersama tetamu Pengerusi, menjadikan Kuala Lumpur pusat pertemuan diplomasi global bagi menelusuri hala tuju politik, ekonomi dan kemanusiaan rantau ini,” ujarnya – KOSMO! ONLINE














