PETALING JAYA – Pemeterian Deklarasi Penyertaan Timor-Leste ke ASEAN pada sesi pembukaan rasmi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari ini merupakan pencapaian terbesar Malaysia.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, penandatanganan bersejarah itu akan mengiktiraf Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN ke-11 sekali gus melengkapkan komuniti ASEAN sebagai sebuah keluarga serantau yang bersatu.
“Peristiwa ini menjadi detik penting di bawah kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.”Selain memperkukuh citra jangka panjang untuk mewujudkan Asia Tenggara yang benar-benar inklusif,” katanya dalam sesi taklimat Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Beliau berkata, penyertaan rasmi Timor-Leste bakal membawa dinamika baharu kepada tiga tonggak utama komuniti ASEAN.
“(Iaitu) Politik-Keselamatan, Ekonomi dan Sosiobudaya yang akan memperkukuh kerjasama serta kesejahteraan serantau secara menyeluruh,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














