fbpx
ALEX Marquez membuktikan bahawa dia adalah pencabar gelaran musim depan selepas mencipta kemenangan di Malaysia. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

MotoGP: Alex Marquez tawan Sepang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Pelumba Gresini Racing, Alex Marquez, mencipta kemenangan sulungnya di Grand Prix (GP) Malaysia selepas menampilkan tunggangan dominan serta memanfaatkan kegagalan bintang Ducati, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia, yang mengalami kerosakan teknikal.

Marquez yang mengesahkan gelaran naib juara Kejuaraan Dunia semalam, mengekalkan tunggangan terbaik di sepanjang Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan tidak menoleh ke belakang untuk menamatkan saingan dengan cemerlang di bumi Malaysia.

Pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Pedro Acosta, membuktikan kemampuannya dengan mencabar kedudukan tempat kedua, manakala Joan Mir dari Honda HRC Castrol melengkapkan kedudukan podium.

Mengulas kemenangan itu, Alex Marquez mendedahkan bahawa kejayaan itu dicapai hasil strategi bijak selepas melalui hujung minggu yang mencabar.

“Ini bukan hujung minggu yang mudah. Kami menghadapi sedikit kesukaran pada hari Jumaat dan jentera tidak terasa sempurna. Tetapi hari ini, strategi yang kami guna adalah sangat bijak. Saya tahu itulah kunci kemenangan.

“Saya pernah tewas di sini dua tahun lalu, jadi kali ini saya mengambil keputusan untuk menyerang dari awal. Kemenangan ini sangat penting,” katanya.

Sebagai rekod, sepanjang membuat penampilan di Malaysia, Alex Marquez tidak pernah bergelar juara dan rekod terbaik adalah menjuarai perlumbaan pecut.  -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI