BANDAR GAZA – Sebuah rakaman video AFP menunjukkan satu konvoi treler dan kenderaan Mesir yang mengangkut jentera berat memasuki Gaza semalaman untuk membantu mencari mayat tebusan Israel di wilayah itu.
Kenderaan-kenderaan itu dirakam di Khan Yunis, selatan Gaza.
Tentera Israel tidak segera memberikan respons kepada permintaan AFP untuk mengesahkan rakaman itu. Namun, akhbar The Times of Israel melaporkan, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu secara peribadi meluluskan kemasukan pasukan Mesir dan beberapa kenderaan kejuruteraan ke wilayah Palestin untuk mencari mayat tebusan yang hilang.
Pada malam semalam, saluran berita Al-Qahera yang berkaitan dengan kerajaan Mesir melaporkan bahawa pasukan itu sedang dalam perjalanan ke Gaza.
Dua sumber tentera Mesir juga mengesahkan kepada AFP bahawa konvoi tersebut berada di lintasan Kerem Shalom pada malam semalam, menunggu kebenaran untuk menyeberang ke wilayah Palestin.
Berdasarkan perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel, kumpulan pejuang Palestin itu dijadualkan memulangkan kesemua 48 tebusan yang masih hidup dan mati sebagai pertukaran untuk hampir 2,000 rakyat Palestin yang ditahan oleh Rejim Zionis.
Namun, hanya 15 daripada 28 tebusan yang mati telah dipulangkan setakat ini, dengan mayat mereka tertimbus di bawah runtuhan di seluruh wilayah yang musnah itu.
Disebabkan itu, Hamas meminta bantuan dan peralatan canggih untuk membantu mencari mayat-mayat tersebut. – AFP














