LONDON – Sunderland meneruskan prestasi cemerlang dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mencatat kemenangan mengejut 2-1 ke atas Chelsea di Stamford Bridge semalamsekali gus melonjak ke kelompok empat teratas.
Gol kemenangan skuad kendalian Regis Le Bris itu hadir pada masa kecederaan menerusi pemain gantian, Chemsdine Talbi yang melepaskan rembatan lencong menewaskan penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez.
Chelsea bermula garang apabila Alejandro Garnacho membuka jaringan seawal minit keempat untuk merekodkan gol pertamanya buat The Blues sejak berhijrah daripada Manchester United.
Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Wilson Isidor menyamakan kedudukan pada minit ke-22 hasil penyudah jarak dekat selepas pertahanan Chelsea gagal mengeluarkan bola daripada situasi lontaran jauh.
Perlawanan kelihatan berakhir seri apabila anak buah Enzo Maresca bergelut menembusi blok pertahanan Sunderland yang tersusun kemas sebelum Talbi memastikan tiga mata berharga buat pelawat pada minit ke-93.
“Kami bermain dengan keseimbangan yang baik, menekan tinggi pada masa tertentu dan bertahan rapat apabila perlu. Ia persembahan yang positif, lebih-lebih lagi selepas dibolosi awal. Kami gembira kerana berjaya manfaatkan peluang ini,” kata Le Bris.
Kekalahan itu memutuskan rentetan dua kemenangan berturut-turut Chelsea selepas menundukkan Liverpool dan Nottingham Forest, sekali gus menambah tekanan buat Maresca yang masih mencari kestabilan pasukan.
Pemain pertahanan Chelsea, Trevoh Chalobah mengakui pasukannya hilang tumpuan pada detik-detik penting hingga dihukum Sunderland.
“Bukan perlawanan terbaik kami. Kami perlu belajar daripada kesilapan ini. Jadual padat bukan alasan, ini perlawanan yang kami mahu main, jadi kami harus kekal fokus hingga tamat,” katanya. – AGENSI














