KUALA TERENGGANU – Sebanyak 460 kawasan di seluruh Terengganu telah dikenalpasti sebagai’ hot spot’ atau lokasi berisiko banjir pada musim tengkujuh yang bakal tiba tidak lama lagi.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir. Osman Abdullah berkata, ia peningkatan 11 kawasan berbanding 449 kawasan berisiko banjir pada tempoh Monsun Timur Laut (MTL) pada tahun lalu.
“Hot spot terbanyak di Kuala Terengganu iaitu 97 kawasan diikuti Dungun (72), Setiu (59), Hulu Terengganu (63), Kemaman (55), Kuala Nerus (47), Marang (35) dan Besut (32). “Kuala Terengganu tertinggi kerana daerah tersebut mempunyai banyak penempatan,” katanya selepas memberi taklimat Kesiapsiagaan MTL di sini hari ini.
Osman berkata, tumpuan akan diberikan terhadap kawasan-kawasan terletak di tebing lembangan sungai-sungai utama di negeri ini seperti Sungai Terengganu, Sungai Dungun dan Sungai Kemaman.
Beliau berkata, sebanyak 43 perkampungan yang terletak di muara sungai juga berisiko dilanda banjir ekoran fenomena air pasang besar sepanjang tempoh MTL.
“Selain hakisan pantai, kebimbangan kita taburan hujan terlalu lebat yang berlaku secara tiba-tiba.
“Sebagai contoh Hulu Terengganu dan Kampung La, Besut pernah ditimpa hujan 700 mililiter (ml) sehari masing-masing pada tahun 2022 dan 2023. Itu putara taburan hujan yang sepatutnya turun dalam tempoh tiga bulan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














