JITRA – Polis meminta penduduk yang terjejas akibat banjir agar segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya diarahkan berbuat demikian demi keselamatan mereka.
Ketua Polis Negeri, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya memahami perasaan penduduk yang bimbang terhadap keselamatan harta benda masing-masing.
“Ikut nasihat pihak berkuasa kalau perlu berpindah. Kita faham mengenai kebimbangan mereka terhadap keselamatan harta benda. “Namun, apa yang penting adalah keselamatan nyawa. Menjadi tanggungjawab polis dan agensi berkaitan untuk memastikan keselamatan rumah serta harta benda,” katanya selepas menyerahkan kenderaan lucut hak di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba di sini, hari ini.
Katanya, setakat ini tiada kes kecurian melibatkan kediaman mangsa banjir yang diterima.
Sementara itu, beliau berkata, semua penghuni PPS tidak perlu ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian.
“Kita mahu mempermudahkan urusan mangsa banjir dengan memberi arahan supaya anggota polis ke PPS bagi menerima laporan di situ.
“Namun, kalau ada yang tinggal berdekatan dan mahu membuat laporan di balai polis, itu terpulang kepada mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














