MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menjelaskan dia belum pernah berasa puas untuk membantu pasukannya berada dalam kelompok yang mampu mengejar kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Menjelang aksi dengan Aston Villa di Villa Park, malam ini, Guardiola menjelaskan tugas pasukannya belum lagi selesai dan bersedia untuk terus memberikan cabaran dalam persaingan musim ini.
“Saya sering katakan pakar dan bekas pemain tahu apa yang berlaku selepas lima perlawanan. Liverpool dan Arsenal sudah berada dalam persaingan, malah pasukan lain juga pasti akan berada di situ dan saya harap kami juga dapat melakukannya,” katanya.
City berjaya menang enam kejuaraan liga dalam tujuh tahun terakhir dan kini sudah pun meraih 16 mata daripada lapan perlawanan, hanya kurang tiga mata berbanding pendahulu, Arsenal.
Ketika ini, Guardiola turut memberikan bayangan pemainnya yang cedera masih belum dapat diturunkan, malah nasib Nico Gonzales juga belum dapat dipastikan selepas pemain itu alami kecederaan kaki ketika menentang Villarreal.
“Saya belum berjumpa dengan doktor dan kita akan lihat sejauh mana tahap kecederaan yang dialaminya,” katanya.
Guardiola juga tidak menolak untuk mengikut jejak beberapa pasukan lain yang sudah pun menggunakan pendekatan lontaran ke dalam jauh sebagai senjata baharu pada perlawanan akan datang.
“Ini adalah kecenderungan banyak kelab dan pendekatan itu sama seperti sepakan penjuru. Tidak kiralah saya suka atau tidak, ia tetap menjadi senjata dan kami perlu menyesuaikan diri,” katanya. – AGENSI














