fbpx
Gusmão pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

ASEAN ke-47: Ubah mentaliti, Timor-Leste bangkit sebagai negara muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Timor-Leste akan memanfaatkan kemasukan negara itu sebagai anggota ASEAN ke-11 dengan memperkukuhkan pertukaran pengetahuan dan kemahiran selain menarik pelaburan asing bagi memacu pembangunan ekonomi.

Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão berkata, beliau bagaimanapun mengakui pelbagai cabaran perlu ditangani bagi merealisasikan perkara tersebut.

“Timor-Leste adalah negara muda, berusia 23 tahun. Ia masih dalam proses pembangunan dan bukan satu benda yang mudah. Mungkin mengambil masa lebih daripada 10 tahun.

“Kami masih lagi sebuah negara yang miskin dan sebab itu bila kami minta sertai ASEAN bukan kerana manfaat tertentu,” katanya pada sidang akhbar sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini hari ini.

Menurut Gusmão, antara langkah utama yang perlu dilakukan adalah mengubah mentaliti rakyatnya selain memberi fokus kepada sektor perniagaan dan pendidikan.

Katanya, ketika ini, Timor-Leste hanya bergantung kepada industri minyak dan mengimport hampir 100 peratus produk berkaitan makanan dan sebagainya.

“Fokus kita sekarang adalah ke arah perniagaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk industri pertanian dengan menyediakan pembiayaan kepada rakyat.

“Ini secara tidak langsung dapat memberi pendedahan kepada rakyat Timor-Leste. Ada benda yang kita boleh bangunkan sendiri dan tidak perlu import,” jelasnya.

Dalam pada itu, Gusmão berkata, Timor-Leste menyertai ASEAN dengan rasa tanggungjawab yang mendalam dan semangat optimis yang tinggi.

Menurutnya, keanggotaan itu mencerminkan komitmen berterusan terhadap kerjasama serantau, tadbir urus yang baik dan hubungan aman antara negara.

“Ini merupakan satu detik yang istimewa bagi kami. Kemasukan Timor-Leste sebagai ahli ke-11 ASEAN menandakan babak baharu dalam sejarah negara dan Asia Tenggara.

“Kami menganggap kemasukan Timor-Leste sebagai satu tindakan solidariti serantau pada masa ketidaktentuan global.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Timor-Leste, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua negara anggota dan rakan-rakan ASEAN atas sokongan teguh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN