KUALA LUMPUR – Thailand akan memulakan proses membebaskan seramai 18 tentera Kemboja yang sebelum ini ditahan susulan di sempadan kedua-dua negara baru-baru ini.
Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul pada Majlis Menandatangani Perjanjian Damai Thailand–Kemboja yang berlangsung sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
“Selepas menandatangani perjanjian hari ini, kedua-dua pihak akan mula melaksanakan perkara yang telah dipersetujui khususnya pengunduran balik senjata berat dari kawasan sempadan. “Ini bagi memastikan keselamatan rakyat kita serta membina keyakinan dan kepercayaan,” katanya berucap pada majlis berkenaan.
Beliau berkata, Thailand mempunyai tanggungjawab untuk bertindak dengan tulus dan ikhlas sekali gus memulihkan kehidupan serta melindungi kesejahteraan komuniti di sempadan.
“Apa yang telah kita persetujui di sini mesti dilaksanakan sepenuhnya. Hanya dengan itu kita benar-benar dapat membuka lembaran baharu, hanya dengan itu kita dapat menjamin keselamatan rakyat kita.
“Hanya dengan itu kita dapat mencapai keamanan yang sebenar dan berkekalan. Inilah rakyat harapkan daripada kita. Inilah yang mereka layak untuk nikmati iaitu keamanan dengan maruah,” katanya.
Berhubung majlis hari ini, Anutin menyifatkan ia satu babak baharu bagi Thailand dan Kemboja yang mana mereka mengambil langkah konkrit menuju ke arah keamanan.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepimpinan beliau sebagai Pengerusi ASEAN, serta atas usaha gigih beliau dalam menegakkan perpaduan di rantau kita.
“Saya juga ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden Trump atas dedikasi peribadi beliau dalam mempromosikan keamanan antara kedua-dua negara,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan detik bersejarah tersebut.
“Thailand berpihak kepada keamanan. Perjanjian ini mencerminkan tekad sebenar kami untuk menyelesaikan perbezaan secara aman dengan menghormati sepenuhnya kedaulatan dan keutuhan wilayah masing-masing.
“Apabila dilaksanakan sepenuhnya, ia akan menjadi asas penting bagi keamanan yang berkekalan,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari ini menyaksikan satu lagi sejarah penting apabila Thailand dan Kemboja bersetuju untuk memeterai Perjanjian Damai Thailand-Kemboja bagi melaksanakan genjatan senjata, sekali gus mewujudkan pendamaian di sempadan kedua-dua negara.
Pemeteraian perjanjian damai itu ditandatangani antara Anutin dan Hun Manet dalam satu majlis khas yang turut dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. – KOSMO! ONLINE














